SAINS FC | Menentang Harini FT, slot Piala Malaysia sebagai taruhan
2 min readMengikut perkiraan ilmu sains dan matematik, SAINS FC masih lagi berpeluang untuk mengisi slot terakhir ke Piala Malaysia 2023 selepas satu lagi slot untuk pasukan MBSB Bank Championship 2023 telah sah menjadi milik KL Rovers. Jika kemenangan ke atas Harini FT hadir pada esok malam, ini akan menyaksikan SAINS FC berkongsi mata bersama Harini FT. Seri, mengikut kiraan masih berpeluang namun sukar manakala kekalahan bermakna slot terakhir sah menjadi Harini FT walaupun Imigresen FC dan Bukit Tambun FC sedang mengintai intai untuk memotong barisan.
Atas kertas, barisan pemain Harini FT tampak lebih ampuh untuk membawa pulang tiga mata seterusnya mengisi slot terakhir Piala Malaysia 2023. Rata-rata pemain Harini FT adalah pemain professional dan mempunyai banyak pengalaman baik di peringkat negeri mahupun peringkat kebangsaan. Namun dalam bola sepak apa pun boleh terjadi. Lihat sahaja bagaimana Arsenal dan Dortmund mensia-siakan peluang mereka untuk menjuarai liga dan tidak mustahil ini juga akan terjadi kepada Harini FT.
Untuk perlawanan seperti ini, selain dari aspek taktikal dan teknikal, stamina juga akan memainkan peranan penting. Mengambil contoh perlawanan menentang Armed Forces FC minggu lalu, dengan aksi serang balas yang dipersembahkan kepada penyokong yang hadir, stamina para pemain diuji kerana mereka perlu sentiasa turun ketika diserang dan naik ke atas mencari gol. Apa yang pasti, ia akan menjadi hari yang sibuk terutama nya barisan tengah bagi menghalang pemain lawan masuk ke kawasan bahaya dan membantu mengatur serangan.
Suka den menyentuh sedikit perihal gol Rafiq Shah dari luar kotak penalti minggu lalu. Rafiq bijak melihat penjaga gol tidak berada di posisi yang baik untuk menyelamatkan bola. Bukan lah den mahu pemain melakukan percubaan dari jarak jauh, tetapi pemain-pemain perlu bijak menghidu dan mencipta peluang menjaringkan gol. Dan apabila peluang itu hadir, janganlah pula dipersia-siakan terutama bila bertemu pasukan yang berkualiti seperti Harini FT. Setiap kesilapan yang dilakukan pasti akan dihukum.