October 13, 2024

SAINS FC | Sedia teruskan saingan dalam Liga M3

3 min read

Tahukah anda, pada awalnya, SAINS FC tidak berhasrat untuk meneruskan saingan Liga M3 pada musim ini kerana tanggungjawab tugas hakiki yang lebih wajib diuruskan dengan sepenuhnya. Tambahan pula faktor kewangan untuk menyiapkan sebuah pasukan yang lengkap bukan sedikit, seperti yang disyaratkan oleh Amateur Football League (AFL) sebagai penganjur liga. Tak manis pula jika SAINS FC, sebagai juara Liga M4 2019 tidak meneruskan perjuangan mereka musim lalu dalam Liga M3, nanti apa pula kata penyokong yang sukakan liga amatur, semi pro?

Masih ingat bagaimana Felcra FC mendapat peluang bermain dalam liga Super selepas mencapai kedudukan kedua liga Perdana pada tahun 2018? Ketika itu pasukan mereka diwakili ramai pemain pro walaupun mereka bermain di liga Perdana sebagai pengganti Sime Darby yang menarik diri. Namun Felcra FC akhirnya berputih mata selepas pengurusan Felcra Berhad tidak mahu lagi menyalurkan wang selepas pengstrukturan semula organisasi mereka. Felcra FC terkubur kerana tidak mendapat management baru untuk meneruskan kelab mereka.

Justeru, satu langkah menang-menang telah diambil demi maruah dan kelangsungan bola sepak amatur Negeri Sembilan. Jasa SAINS dalam membina pasukan tidak boleh dibiarkan ‘kering’ umpama empangan dilanda kemarau panjang. Persatuan RUN RMB bersetuju menjadi pengurusan baru kepada pasukan SAINS FC dan mereka terus menggerakkan semula pasukan dan mendaftarkan ke Liga M3 2023. Tahniah Jang ucapkan kepada SAINS dan RUN RMB kerana bersikap professional dalam penyatuan ini demi bola sepak Nogori.

Kemasukan SAINS FC dalam Liga M3 tersangat penting kepada kemeriahan liga kita. Selain menjaga maruah Negeri Sembilan, ianya adalah satu platform utama pemain amatur bermain secara semi pro. Liga Malaysia ini terdiri dari 4 lapisan utama iaitu Liga Super, Liga M2 (belum jalan daa), M3 dan seterusnya M4. Sementara M5 pula adalah liga dalam negeri, liga sosial, komuniti dan sebagainya.

Jika kita lihat pada kebanyakan pasukan yang bertanding, liga M3 juga dilihat sebagai satu platform kepada pemain professional dari liga Super meneruskan karier mereka samada sebelum bersara atau untuk kembali semula ke dalam pasukan Liga Super. Maka saingan liga M3 dilihat sangat kompetitif dan ini sangat mengujakan. Kalau kau rajin, kau check la senarai nama pemain pro yang kini berada di liga M3.

SAINS FC sendiri menyenaraikan ramai pemain berkaliber untuk memberi saingan. Firdaus Azizul, bekas penyerang Negeri Sembilan (2009-2014 dengan 25 gol), Sime Darby (2015-206 dengan 4 gol), Felcra FC (2017-2018 dengan 6 gol) kemudian bersama SAINS KSR dari tahun 2019-2021 dan musim lepas bersaama Imigresen FC. SAINS FC juga mendapatkan khidmat Mohamad Kaharuddin, penjaga gawang NSFC secara pinjaman, Fauzi Latif, Alif Samsudin, Tengku Qayyum dan pemain pertahanan NSFC musim lepas yang tenang, Muhammad Zukhairi bin Zulkeply atau Ayie.

SAINS FC juga mengabungkan bakat muda dari kelab-kelab sekitar Negeri Sembilan dan mengekalkan beberapa kakitangan Sains sebagai pemain mereka. 95% pemain yang bermain untuk SAINS FC adalah berasal dari Negeri Sembilan. Ini sejajar dengan misi dan kehendak pengurus pasukan SAINS FC, saudara Mohamad Afif Anuar yang mahukan pemain Nogori menyumbang tenaga dan tidak terpinggir. SAINS FC dibimbing oleh jurulatih berpengalaman, saudara Hamizar Hamzah dengan dibantu kakitangan lengkap dan berpengalaman.

Semoga perjalanan SAINS FC dalam saingan Liga M3 musim ini berjalan lancar. Jang akan turun menyokong pasukan SAINS FC kerana Jang sukakan bola sepak. Jika kau semua juga sukakan bola sepak, maka SAINS FC perlukan kita sebagai penyokong mereka.

1,2,3 SAINS!

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.