SAINS FC | Sedia menyembur air di kubu tentera
2 min readPertengahan bulan Julai ini merupakan waktu yang penting bagi beberapa pasukan yang terlibat dalam MBSB Bank Championship termasuk SAINS FC. Dua pasukan yang berjaya meletakkan diri mereka dalam posisi top 2 selepas pusingan pertama tamat akan menyertai semua pasukan Liga Super ke Piala Malaysia 2023. Bagi SAINS FC, kita mempunyai tiga perlawanan untuk diharungi sebelum pusingan pertama tamat dan ia akan dimulakan dengan pertemuan bertemu Armed Forces FC esok.
Sebenarnya, perlawanan menentang Armed Forces FC ini merupakan perlawanan tertunda selepas pihak lawan lawan sebelum ini memohon pindaan kerana rata-rata pemain mereka terlibat dengan sukan antara anggota tentera. Atas dasar semangat kesukanan yang tinggi, SAINS FC bersetuju dan turut sama berkorban selepas AFL menetapkan perlawanan pindaan dilangsungkan beberapa hari selepas Hari Raya Korban yang seharusnya menjadi minggu rehat setiap pasukan.
SAINS FC sudah tentu mahu melupakan rekod pertemuan musim lalu selepas tewas dalam kedua-dua pertemuan. Memegang kepada falsafah ‘dari mengenang perkara yang lalu, lebih baik tidur’, kesemua pemain perlu bersedia berganding bahu untuk menjadikan hari esok lebih baik dari musim yang lalu. Untuk Armed Forces FC pula, kita mengharapkan mereka terus leka dengan kenangan lalu dan terbawa-bawa ke perlawanan esok supaya mereka lalai.
Di bahagian serangan, den melihat beban yang diletakkan ke atas Firdaus Azizul sedikit demi sedikit menjadi ringan selepas Khaizil Jasmi as well known as Tanjung semakin membuktikan ketajamannya di depan gol. Tanjung pada awal musim bukan lah antara pemain yang akan mengisi kesebelasan utama, dan diberikan peluang selepas ketiadaan Firdaus Azizul akibat penggantungan dan kecederaan yang dialami Asraf Roslan. Dan sudah pasti, dengan bantuan rakan-rakan yang lain, duo SAINS FC ini menjadi tonggak untuk merobek kubu Armed Forces FC esok.
Kembalinya Kahar di atas padang selepas pulih dari kecederaan menambah sedikit kekuatan di bahagian pertahanan yang dipimpin Aliff Samsudin. Namun pujian juga diberikan kepada penjaga gol muda Izzat Hakimi yang mampu menggalas tanggung jawab sebagai benteng terakhir untuk beberapa perlawanan sebelum ini. Inilah karakter yang perlu ada dalam setiap pemain SAINS FC baik pemain utama ataupun pemain simpanan. Sentiasa bersedia dan memberikan yang terbaik bila diturunkan di atas padang.
Menyentuh sedikit tentang kekuatan pasukan Armed Forces FC. Selepas sedekad, kecergasan dan kepantasan Venice Elphi masih lagi menjadi igauan pihak lawan. Perkara yang sama disentuh ketua jurulatih SAINS FC, Hamizar Hamzah supaya pemain-pemain sentiasa berwaspada dengan pihak lawan terutamanya kapten Armed Forces FC ini. Sudah tentu aksi yang menarik akan dipersembahkan kedua-dua pasukan esok di Stadium MINDEF. Ayuh berikan sokongan kepada SAINS FC untuk sama-sama kita merobohkan kubu askar.