September 14, 2024

Sang Rusa Ataupun Sang Kerbau. Mana Lagi Manis?

4 min read

Nickname Dan Bola Sepak

Sepanjang hayat abang mengkaji, menganalisa dan merumuskan permasalahan di dalam dunia bola sepak, abang dapat katakan kelab dan nickname (nama gelaran) ini tidak dapat dipisahkan. Hampir setiap pasukan bola sepak di dunia ini mempunyai nama gelaran mereka yang unik. Setiap nama gelaran ini datang daripada beberapa galur. Ada yang mempunyai jalan cerita tersendiri asal nama gelaran tersebut dan ada yang sampai sekarang tidak tahu mana asalnya.

Bola sepak amat mengutamakan tradisi. Nama gelaran adalah sebahagian daripada tradisi bola sepak. Percaya atau tidak gelaran ini secara langsung mahupun tidak langsung memberi impak kepada sesebuah kelab bola sepak. Ini akan abang terangkan satu persatu selepas ini.

Jika kita lihat kelab-kelab Eropah, kebanyakan mereka juga mempunyai nama gelaran yang sudah lama dipakai. Ada di antara nama tersebut sedap didengar dan ada juga namanya seperti tidak masuk akal. Contohnya Juventus yang dikenali sebagai Old Lady. Nama tersebut seolah-olah menunjukkan Juventus sebagai sebuah kelab yang tidak berdaya dan lemah. Tetapi hakikatnya adalah sebaliknya. Ada juga kelab yang nama gelaranya sahaja sudah cukup untuk membuat lawan gerun. AC Milan salah satu daripada kelab tersebut dengan gelaranya The Devil. Nickname ini juga sangat kuat pengaruhnya sehinggakan satu kelab itu tidak lagi dipanggil melalui nama penuhnya. Sebagai contoh Spurs untuk Tottenham Hotspur dan Boro untuk Middlesbrough.

Apa kaitan nama-nama jolokan ini dengan Negeri Sembilan sampai abang nak merungkai permasalahan ini? Ini disebabkan baru-baru ini abang ada mendengar beberapa penyokong mengutarakan pendapat yang nama rusa tidak lagi relevan dan perlu ditukar kepada kerbau. Abang pantang jika suara penyokong tidak diendahkan walaupun suara tersebut sekecil zarah!

Kes Kajian

Setelah abang membuat kajian yang mendalam, abang boleh merumuskan ada dua jenis aftermath ataupun kesan daripada menukar nama ini. Pertama, adalah kesan yang baik. Anda tahu apa nama nickname Chelsea sebelum menggunakan nama The Blues? The Pensioners. Nama ini diambil demi mengenang jasa para pesara yang banyak membantu pesakit di hospital Chelsea. Nama itu sendiri tidak menunjukkan apa-apa semangat dalam bola sepak walaupun ada cerita baik disebaliknya. Selepas ditukar kepada The Blues, kelab ini menjadi lebih komersial dan gah di persada liga Inggeris (Tapi menukar nama gelaran bukan faktor utama mereka berjaya).

Kesan kedua daripada menukar nama ini ialah kesan buruk. Pada tahun 2015, Tan Sri Vincent Tan telah membeli sebuah kelab di Wales yang dikenali sebagai Cardiff City Football Club. Tan Sri Vincent Tan telah membuat beberapa perubahan drastik dengan menukar jata tradisi Blue Bird kepada seekor naga merah dan warna jersey home daripada biru ke warna merah. Alasan beliau menukar kerana beliau percaya kepada warna merah dan naga tersebut akan membawa ‘Ong’ kepada kelab milik beliau.

Tan Sri Vincent Tan mendapat reaksi yang negatif hasil daripada revolusi ini. Beliau dicemuh beberapa kali di stadium dan beberapa pengurus lain turut merasakan tidak setuju atas penukaran tersebut. Walaupun niat Tan Sri Vincent Tan adalah baik dan naga itu sendiri mewakili Wales, namun penyokong-penyokong tidak membenarkan sama sekali tradisi mereka di tukar semudah itu. Nampak tak? Walaupun idea itu baik, tidak semestinya menghasilkan kesan yang positif.

Ada juga yang tiada impak berlaku pada penukaran nama. Sebagai contoh Manchester City menukar nama dari The City kepada The Citizen. Tapi abang malas nak cerita lebih tentang kelab ini. Bolehlah menang hari itu, Mane kena kad merah.

Rusa Yang Megah Kerbau Yang Gagah

Rusa adalah haiwan yang majestic (Haiwan yang penuh dengan kemegahan). Banyak kerajaan dahulu kala menggunakan rusa sebagai binatang di jata negara mereka. Rusa ini digunakan untuk melambangkan sifat intuisi, kelembutan dan keharmonian sesebuah kerajaan itu. Sesetengah budaya menganggap rusa sebagai raja di rimba (Mungkin negara-negara ini tiada harimau dalam hutan mereka) dan diangkat sebagai binatang suci.

Jadi apa kaitan rusa dengan Negeri Sembilan? Kenapa digunakan untuk melambangkan pasukan bola sepak Negeri Sembilan? Sejujurnya, hasil daripada kajian abang dengan mencari artikel dan bertanyakan kepada orang-orang lama, abang tidak jumpa apa kaitannya. (Mungkin anda lebih tahu).

Kemungkinan pada waktu itu Negeri Sembilan terpaksa memilih satu nama sebagai gelaran. Hanya kerana ada banyak ladang rusa di Kuala Pilah dan beberapa tempat yang lain, kita digelarkan dengan nama gelaran Skuad Rusa. Semudah itu? Abang tidak terkejut jika ianya benar. Norwich City dikenali sebagai The Canaries hanya kerana banyak burung kenari di kota tersebut.

Kerbau pula adalah haiwan yang dilambang sebagai tanda kekuatan dan kegagahan. Jika dibandingkan dengan rusa, abang rasa kerbau mempunyai kaitan yang lebih kuat dengan adat dan tradisi orang Negeri Sembilan. Banyak cerita-cerita, lagu-lagu dan sebagainya dikaitkan dengan kerbau. Malahan atap Minangkabau rumah Gadang juga diilhamkan daripada tanduk kerbau. Jika nama gelaran datangnya dari segi kuantiti binatang itu di sesuatu tempat, abang percaya nisbah kerbau adalah jauh lagi banyak daripada rusa di Negeri Sembilan ini. Dari segi garang, sudah pasti jolokan nama kerbau tidak semegah nama binatang-binatang lain seperti harimau dan helang. Kerbau juga nampak seperti malas dan tidak agresif jika kita kaji sifatnya. Tetapi bila dikacau ketika mereka berkubang abang tak pernah try lagi. Nanti jika ada yang cuba, cerita lah dekat abang apa keputusannya.

Kesimpulan

Jadi apa kesimpulan kita dapat daripada perbincangan ini? Jika ramai yang bersetuju menggunakan nama kerbau daripada rusa untuk gelaran, abang rasa tiada masalah untuk persatuan menukarkannya. Jika tanya pendapat abang, tak perlu tukar. Kekalkan nama rusa. Tetapi kerbau boleh sahaja digunakan sebagai nama gelaran lain seperti nama gelaran penyokong Negeri Sembilan. Sebagai contoh, Buffalo Soldier yang sedia pakai ketika ini. Walaubagaimanapun, bagi abang idea memakai nama kerbau masih boleh diketengahkan. Mana tahu dengan menggunakan nama gelaran yang baru boleh mengubah nasib Negeri Sembilan di liga perdana ini. Menukar nama daripada rusa kepada kerbau masih rasional dan bukan emosional.

 

P/S: Korang suka nama kerbau ke nama rusa?

 

Tom Bombadil – Di dalam lopak air, 2017

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.