Sepuluh Peratus Penyokong Yang Bertuah
3 min readBerita mengenai vaksin sudah mula diedarkan di UK dan Amerika disambut baik oleh masyarakat. Dunia kembali ceria. Ramai orang sudah mula merancang aktiviti-aktiviti mereka. Sektor pembinaan, penerbangan dan pelancongan bakal pulih. Begitu juga dalam sektor sukan khususnya bola sepak. MFL telah mengumumkan liga baharu bakal kembali. Dalam masa sama abang Tom menulis ini, Air Asia baru sahaja mengumumkan akan kembali menaja liga Malaysia. Kelihatan sinar di sebalik lorong kegelapan.
Bola sepak kita baru sahaja habis dengan agenda penswastaan dan pemilihan logo. Penyokong pasukan bola sepak masing-masing berebut untuk terlibat misalnya dalam pembikinan logo baharu. Ada yang masuk pertandingan, ada yang mengundi, ada yang menyokong dengan pujian dan ada juga yang mengkritik di media sosial. Semuanya telah mengambil bahagian dan harus berbangga dalam penglibatan tersebut.
Agenda seterusnya mestilah tentang kebenaran penyokong untuk merasakan kemanisan bola sepak semula. Sebelum ini, MFL ada membuat kenyataan bahawa mereka sudah bersedia untuk menjalankan kembali liga bola sepak Malaysia. Tengku Mahkota Johor juga sudah memberi hint yang penyokong boleh masuk semula ke stadium dengan kapasiti 10 peratus daripada jumlah maximum. Semestinya dengan mematuhi SOP yang ketat.
Yang menarik tentang benda ini bagaimana perlaksanaan pemilihan 10 peratus penyokong itu hendak diaplikasikan. Mengikut pengetahuan abang Tom, pengurusan tiket adalah masih di bawah seliaan kelab bola sepak masing-masing. Misalnya di Negeri Sembilan kami masih menggunakan cara manual dengan menjual di kaunter masuk. Jika stadium dijangka ramai, penjualan akan bermula sehari awal dengan cara first come first served sehingga tiket habis dijual.
Tiada penjualan secara online agak daif bagi bola sepak yang merupakan sukan nombor satu negara. Namun hakikatnya ianya masih begitu. Malah kami pernah menggunakan tiket kertas seperti tiket bas. Yang mana tiket tersebut mempunyai kualiti yang sama seperti tiket gig di Seremban ketika era 90-an. Gila jika difikirkan semula.
Jadi bagaimana 10% itu akan diagihkan? Benda ini penting untuk difikirkan supaya keadilan dapat diberikan. Walaupun tidak dapat memuaskan hati semua pihak, paling kurang dapat menjaga sebahagiannya. Setakat ini hanya dua cara sahaja yang abang Tom nampak. Pertama, sehari sebelum perlawanan penyokong perlu mendaftar nama secara online (Simple website yang akan simpan data nombor IC, no telefon dan nama penuh ataupun dengan daftar dengan menggunkan Whatsapp) dengan jumlah yang limited. Tidak lebih daripada 30 peratus misalnya. Kemudian undian secara rawak daripada 30 peratus itu dikecilkan kepada 10 peratus. SMS akan dihantar dan esoknya 10 peratus penyokong bertuah tadi boleh membeli tiket pada hari perlawanan dengan besertakan bukti.
Keduanya dengan cara paling mudah iaitu first come first served. Cara ini lebih bahaya. Bayangkan stadium full house pada hari perlawanan pertama. 90 peratus daripadanya akan pulang dengan tangan kosong. Lepastu kalah pula. Sudah tentu akan mendatangkan kemarahan penyokong. Persatuan perlu juga memikirkan peruntukan pihak media juga. Adakah ianya akan dikira dalam 10 peratus itu tadi ataupun tidak? Ini semua perlu diambil kira. Jangan sudah terhantuk baru tengadah.
Penulisan kali ini hanyalah sekadar heads-up untuk persatuan bola sepak untuk mengelak ‘bala’ apabila liga bermula. Mereka sendiri yang perlu memikirkan solusi tersebut. Dari pandangan peribadi abang Tom, NSFC sudah membuat keputusan yang bagus dalam beberapa siri pemilihan barisan jurulatih, pemain dan logo. Adalah sedikit kekurangan sana dan sini. Tiada siapa yang perfect. Kita tidak boleh menghalang semua kritikan negatif kerana ianya sentiasa wujud. Tiada pasukan kalis kritikan. Meskipun pasukan bola sepak itu turun daripada syurga lantas menamakan stadium mereka dengan nama malaikat dalam bahasa Hebrew.
-Tom Bombadil-
Photo by Berkeley Robinson from FreeImages