October 13, 2024

Si Rusa libas Bujang Senang dengan ekornya.

2 min read

Adapun telah hilang kepercayaan semua kepada pasukan, tetapi mereka teguh bersatu menentang musuhnya habis dibinasakan. Adapun bukan niat Jang mahu berlebihan, sekadar membuang sangkaan yang bukan-bukan. Pasukan kita diberi cabaran, bermain di muara sungai mencabar si Bujang Senang, silap langkah, kita dilibas dan dijadikan makanan tapi pantang anak jantan, Si Rusa menendang, mengilas dan berenang kuak lentang. Bujang Senang ditewaskan lalu ia kelemasan, tenggelam ia didasar Sungai Rejang,menjadi lagenda dikenang sepanjang zaman.

Maka, berbondong-bondonglah datang penyokong sekalian yang setia kembali ke stadium menunjuk muka, memberi kata cinta setia, melontar kata pepatah bagai hati Gajah (Pahang) sama dilapah, hati nyamuk (Selangor) sama disakitkan. Adapun Tok Ketua pasukan masih belum dilantik, bagai kapal tidak bernakhoda, tinggallah juak-juak mengawal, mengikut angin dan gelora, dimana bumi dipijak, disitu langit dijunjung.

Maka, susah betul nak tulis gaya tulisan klasik ni. Setengah jam berfikir belum dapat nak buat satu ayat. Dari pembacaan Jang yang sedikit ini, tulisan klasik begitu indah dan lembut sekali penyampaiannya. Hatta, kemarahan pun disampaikan dengan lenggok yang sopan. Alangkah baiknya jika ada usaha mengekalkan lenggok bahasa ini di sekolah agar ia tidak kepupusan.

Adapaun, pasukan kita berjaya meneruskan rentak kemenangan dengan menewaskan Sarawak 2 gol hasil jaringan Faizal Sepet dan Fakhrul Aiman. Jang tak tengok perlawanan itu atau highlightnya tapi jika perlawanan sebelum ini diambil kira, rasanya perlawanan itu pasti sengit. Gol-gol juga dihasilkan pada minit-minit akhir perlawanan iaitu pada minit ke 86 dan 94. Maklumat ini pun Jang dapat dari page Sarawak dan juga page-page perjudian antarabangsa. Nak harap page rasmi Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan?

Hmmmm maknanya apa ini? Adakah badi kekalahan dan seri last minit telah benar-benar kita binasakan?

Adapun perlawanan selepas ini adalah menentang UKM FC di Paroi. Peluang pasukan kita masih terbuka dalam kumpulan A bersama Terengganu FC (8 mata), UKM FC (7) dan 6 mata untuk Negeri Sembilan. Tahniah pasukan kerana berusaha untuk menang dan bermain baik. Teruskan momentum kemenangan bersama.

Musuhnya Habis Binasa

#KeluargaN9

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.