December 11, 2024

Siapa Calon Sesuai Menjadi Presiden Baru PBNS?

3 min read

Seperti kita semua sedia maklum, persatuan bola sepak kita, PBNS ini tidak bertuan setelah TokMat mengundurkan diri. Jang dapat maklumat, Menteri Besar kita yang baru, YAB Aminuddin seperti tidak mahu jawatan tersebut kerana mahu ianya diberi kepada orang yang muda dan tahu. Mungkin beliau ada sebab lain yang kita semua kene hormati. Ini juga membuktikan bahawa seorang Menteri Besar tidak semestinya menjadi Presiden PBNS seperti yang dicanangkan oleh TokMat dahulu.

Walaubagaimanapun, kita mengalami krisis mencari presiden baru yang sesuai untuk membawa perubahan kepada persatuan. Itulah dilemanya apabila pencalonan terbuka kepada umum tetapi bukan semua. Maksudnya, siapa pun boleh menawarkan diri menjadi presiden tetapi persoalannya, kau siapo? Maksud lain ialah, calon-calon selalunya adalah orang yang sesuai dan berada dalam kelompok tertentu sahaja. Tidak mungkinlah Jang boleh sesuka hati menawarkan diri menjadi calon kerana tahap pemikiran dan keterbukaan kita semua belum sampai ke tahap itu lagi. Jauh!

Jadi, siapakah atau apakah ciri penting untuk menjadi presiden baru PBNS?

Bagi Jang secara peribadi, ciri calon yang utama mestilah BIJAKSANA. Kedua, mestilah ada AURA dan ketiga mesti TEGAS. Jang dapati kesemua ciri ini jauh lebih berguna dan penting berbanding dengan KUASA atau PENGARUH. Jang dah lihat presiden bola yang ada kuasa dan pengaruh tetapi tidak menjadi. Mungkin sebab mereka ada satu lagi kriteria lain yang menganggu, iaitu SIBUK DENGAN URUSAN LAIN. Bijaksana, aura dan tegas ini apabila bergabung…pehh! Nike pun turun Paroi la nak bagi sponsor. You follow me or not?

Jadi kenapa bijaksana menjadi kriteria utama? Adakah selama ini persatuan kita dikelilingi oleh manusia yang kurang bijak? Tidak, mereka mungkin ada kebijaksanaan tetapi mereka tidak tegas dan tidak mempunyai aura. Lebih menambah sakit, mereka sibuk dengan urusan lain, seperti pilihanraya dan mentadbir negeri. Jadi, keputusan YAB Aminuddin untuk tidak bertanding adalah tepat, kerana beliau akan sibuk dengan urusan mentadbir negeri. Kita mahukan presiden yang boleh memberi 100% tumpuan (tidak bermaksud masa) kepada bola sepak Negeri Sembilan.

TETAPI, apa kelemahan jika bukan MB yang menjadi Presiden? Ada banyak sebenarnya tetapi boleh diatasi jika ada understanding dan kerja secara berkumpulan. Mengambil contoh (tetapi tidak relevan) apabila kerajaan Selangor dan FAS tidak sealiran, maka timbul pertelingkahan dan akibatnya pasukan Selangor tidak dapat bermain di stadium Shah Alam. Maksud Jang disini, jika MB adalah Presiden, semua fasiliti dibawah kerajaan negeri, seperti stadium Paroi, dapat diberi keutamaan kepada pasukan Negeri Sembilan. Kalau bas rosak atau perlu bas tambahan, Presiden (MB) boleh beri arahan lisan sahaja kepada Yayasan Negeri Sembilan untuk meminjamkan bas mereka. Kalau Jang presiden, mungkin kene hantar surat dulu dan kene follow up, baru mereka putuskan selepas meshorat. Hmmm. itu contoh!

Ramai tidak mahu penglibatan ahli politik dalam persatuan sukan tetapi apa perkara dalam Malaysia ini yang tidak melibatkan ahli politik? Penglibatan ahli politik adalah paling relevan sekali dalam sebarang usaha di Malaysia ini. Kita nak capai kemerdekaan pun guna ahli politik untuk pergi berunding secara diplomasi dengan kerajaan British. Terima hakikat itu dahulu baru bercakap hal penswastaan. Pensawastaan memang jawapan dan perlu dilakukan tetapi mestilah bersifat sustainable (sengaja Jang guna perkataan sustainable, biar nampak bijaksana) Jika kita swasta tahun 2019 dan kembali menjadi FA tahun 2020, apa maknanya? Pernah dengar Pahang FC dengan logo macam Liverpool tu?

Bagi Jang, melantik proksi untuk menjadi presiden juga tidak sesuai kerana akhirnya yang kene buat kerja adalah Menteri Besar juga. Baik Menteri Besar terus yang menjadi presiden dan melantik beberapa individu atau ahli jawantankuasa atau EXCO yang tahu, minat dan mahu buat kerja dan paling utama, mereka mestilah BIJAKSANA. Ingat! pakai kot, kemeja dan tie serta kasut kilat bukan lambang bijaksana. Tolonglah!

Jang mohon YAB Menteri Besar menimbang semula sebarang pencalonan dan jika perlu, jadilah calon untuk bertanding sekali. Jang dan rakan penyokong akan memberi bantuan JIKA kami disantuni dan diminta pendapat. Buat la forum bersama penyokong, baru tau apa yang terjadi diakar umbi. Kalau tanya segelintir puak sahaja atau orang atasan yang duduk di kerusi VVIP atau ketua jabatan, mereka akan kata;

“Semua ok Datuk!”

Tapi paling utama, seorang presiden mestilah tahu menjalankan tugas dengan baik. Jang tak mahu lagi seorang presiden yang apabila ditanya oleh wartawan kenapa prestasi pasukan teruk, beliau menjawap;

“dah kono sihir agak eh pemain ni”

OhTuhanku!

Jawapan sebegini memang menggelikan hati pengundi tetapi tidak professional sebagai seorang presiden. Jang mahu presiden yang menjawap dengan baik dan mempertahankan pemain serta pasukannya dihadapan wartawan dan selepas itu dia datang terajang sorang-sorang pemain dibilik persalinan sebab memalukannya.

Jang,
Pemikir Bola Negeri Sembilan (PBNS jugak!)

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.