October 13, 2024

SNBJ | Duduk selesa adalah hak semua insan

4 min read

Izinkan Jang mengulas sedikit akan hal kepentingan tiket dan tempat duduk di stadium. Jang terpanggil (takda sapa panggil, kan?) untuk menyentuh isu ini berikutan kepanasan yang berlaku ketika pasukan Harimau Malaya menentang Thailand dalam saingan separuh akhir pertama AFF2022 lepas. Tahukah anda, keperibadian kita boleh dinilai dari tempat kita duduk, kebersihan rumah kita, tandas kita berak dan tempat kita makan. Juga kelakuan dan adab kita apabila kita mengambil hak orang lain, melenting apabila ditegur dan tiada sifat malu.

Ah! begitu serius kan? Sebelum itu, suka Jang nyatakan disini, Jang juga baru ke stadium. Baru 40 tahun. Perlawanan pertama Jang ke stadium adalah ketika Selangor menentang Singapura di stadium Merdeka, sekitar tahun 85-86. Begitu klasik sekali line up pemain ketika itu. SuperMokh, Santok Singh, Soh Chin Aun, Arumugam, Khan Hung Meng, Fandi Ahmad, Malek Awab, K.Kannan, David Lee dan ramai lagi bintang telah Jang saksikan depan mata ketika mereka sedang ‘prime’. Terpaksa Jang petik nama lagenda ini demi menjustifikasikan keabsahan Jang mengulas hal kelakuan kau semuo. Ketika itu kau semua masih lagi dialam ghaib. Wallahu a’lam Bishawab.

Selain sponsor dan hak penyiaran, penjualan tiket adalah pendapatan besar kepada kelab dan FAM. Justeru melihat ribuan peminat datang ke stadium adalah impian semua pasukan didunia yang fana ini. Majoriti kelab di Bundesliga dan La Liga bergantung kepada jualan tiket. Hanya pasukan yang bermain di Champions League sahaja mendapat dana besar dari hak penyiaran. Berbanding dengan pasukan yang bermain di Liga Inggeris, pasukan paling lemah seperti Wolves, West Ham dan Chelsea, masih mengaut keuntungan dari hak penyiaran dan jualan tiket. Itu sebab mereka kaya walaupun lemah. Apa maknanya semua ini? Adakah kita masih mahu menonton liga luar di TV jika penyokong mereka sendiri malas ke stadium? Adakah hak penyiaran menjadi mahal jika stadium kosong? Adakah mereka boleh bercerita tentang transfer market, kontrak dan sponsorship jika teres mereka kosong, tiada nilai komersil? Adakah penyokong mereka berebut kerusi?

Ya, penjualan tiket dan kedatangan penyokong adalah faktor tersangat penting dalam usaha pasukan mendapat duit setiap minggu. Semua orang boleh membeli tiket tetapi banyak faktor lain yang akan menyebabkan mereka ‘malas’ mahu ke stadium. Antaranya, mereka malas bersesak-sesak, malas kena parking jauh, 1-2 kilometer berjalan kaki. Beratur lama dikawasan luar stadium kerana masalah scan tiket mengambil masa. Apabila sudah masuk, tempat duduk pula telah diambil orang maka mereka satu keluarga kena duduk dikawasan tangga. Jika mereka hanya penyokong yang hadir ketika separuh akhir atau akhir, adakah mereka akan suka datang pada perlawanan biasa? Sudah tentu tidak! Dalam fikiran mereka, datang ke stadium adalah satu kesusahan melampau. Tidak ada unsur ‘fun’ dalam kotak minda mereka. Tidak ada elemen mengusik jiwa yang mengakibatkan mereka rindu mahu datang lagi ke stadium. Sebaliknya, mimpi ngeri apabila dijerit dan boo hanya kerana mahu duduk ditempat yang telah disahkan didalam tiket mereka. Siapa mahu mengulang ke stadium jika tubuh badan menjadi bahan makian dan sorakan?

Bagaimana mahu buat orang ramai datang stadium? Adakah kena tunggu hingga sifat manusia berubah? Jangan harap! Perlukan 100 tahun untuk ubah satu bangsa menjadi berdisiplin. Jang terpaksa mengambil contoh Liga Inggeris semula. Ketika sebelum pengkomersilan mereka, penyokong Inggeris masih kuat dengan masalah hooligans, mabuk dan baling kerusi pub selepas perlawanan. Malah, kelab Inggeris telah digantung 5 tahun (85-90) dari menyertai UEFA/CL atas sikap mereka ketika tragedi stadium Heysel di Brussel merekodkan 39 kematian penyokong Juve. Adakah penyokong Inggeris telah berubah sekarang? Jawapannya tidak. Mereka masih lagi kuat bergaduh, mabuk dan susun kerusi. Jadi apa kaedah yang dilakukan oleh FA untuk bendung masalah ini?

PENGUATKUASAAN.

Sekarang dalam stadium di Liga Inggeris, kau buat aksi monyet (rasisme) pun ada dirakam cctv mereka. Mereka akan digantung dari masuk kemana-mana stadium. Mereka akan dikesan oleh polis, 2 stesen (LRT Bandar Tasik Selatan, contohnya) sebelum kawasan stadium dan mereka akan diarah turun dari train. Mereka letak beratus marshal berbaju kuning disetiap kawasan tangga dan pintu masuk. Marshal mereka bersepah dikawasan luar padang dan luar stadium. PENGAWALAN dan PENGUATKUASAAN begitu penting dalam mengawal ribuan penyokong. Mereka tahu, mengubah sikap adalah kerja penat dan makan masa, jadi mereka bertindak mendisiplinkan penyokong secara paksa. Mereka tak perlu Menteri Sokan berjalan keliling stadium kerana menteri sokan tak boleh buat apa-apa. Infek, tiada VIP tahu atau perasan kesusahan penyokong dihadapan mereka.

Liga Inggeris belajar dari dua musibah besar, Heysel dan Hillsborough yang meragut banyak nyawa. Tak perlulah kita pun nak ikut sama. Masih segar dalam memori Jang, suasano stadium Bukit Jalil ketika Malaysia menentang Singapura untuk kelayakan Piala Dunia (2011). Rasanya hampir 95 ribu penyokong bersesak dalam stadium. Jang bertahan hanya 45 minit sebelum keluar dari kegilaan yang pasti meragut nyawa jika berlaku panik. Teres stadium kita dibahagian atas agak curam dengan palang besi sebagai penghadang. Lakukanlah sesuatu sebelum ada yang terhumban kebawah. Jang sebut sekali lagi, suasana di stadium Sultan Ibrahim perlu diambil sebagai contoh. Mereka letak marshal dari kawasan parking, tangga masuk stadium dan disemua teres. Mereka memakai baju oren dan tiada satu punggung pun duduk diatas tangga. Cuma bila nak keluar dari parking, dekat 2 jam juga jem.

Satu langkah drastik mesti diambil oleh pihak berwajib. Jangan tunggu tragedi baru nak saling menuding jari. Penyokong mesti diraikan kedatangan mereka dengan rasa selamat. Mereka tidak boleh rasa terbeban apabila datang stadium. Jika mereka rasa gembira, mereka akan datang lagi. Jika mereka rasa seronok, mereka akan datang pula pada perlawanan biasa, tak perlu tunggu separuh akhir. Siapa yang untung? Tickethotline juga yang untung. Mentaliti mengharap sponsor sahaja untuk pembiayaan pasukan sangat ketinggalan. Walhal mereka ada peluang menjana kewangan solid setiap minggu melalui penjualan tiket tetapi mereka tidak mencipta kenangan manis kepada penyokong.

Ingat! Hak duduk selesa adalah hak semua insan.

Jang

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.