Statistik pemain NSFC pusingan 1 Liga Premier 2021 (Bahagian 2)
2 min readSambungan dari Bahagian 1
6. Fernando Barbossa (Pertahanan)
Namanya disebut-sebut ketika jendela perpindahan kedua apabila terdapat ura-ura NSFC akan mengambil pemain import yang baru. Semuanya terlerai apabila NSFC mengumumkan untuk menamatkan khidmat Fernando Barbosa lebih awal secara persetujuan bersama. Walaubagaimanapun, Fernando merupakan pemain yang paling banyak mendapat minit permainan selama 874 minit. Fernando diturunkan pada setiap perlawanan dan bermain secara penuh kecuali sekali ditukarkan ketika NSFC tewas kepada Kelantan United. Adakah kerana status pemain import menyaksikan Fernando ‘wajib’ diturunkan pada setiap perlawanan namun masih ditukarkan pada pertengahan musim? Dan apakah punca khidmat Fernando tidak diteruskan?
7. Annas Rahmat (Pertahanan)
Setelah tiga tahun berkelana ke negeri luar dan kurang mendapat minit permainan, Annas Rahmat akhirnya kembali ke pangkal jalan untuk beraksi semula bersama Negeri Sembilan. Malangnya, Annas telah dilayangkan kad merah seawal perlawanan kedua apabila mengutip dua kad kuning ketika menentang Selangor II. Diberikan rehat seketika atas urusan keluarga, Annas tetap fokus di atas padang setelah diturunkan enam kali sebagai pemain utama dan sekali sebagai pemain gantian. Secara keseluruhan, Annas telah bermain selama 512 minit dan juga telah mengumpul 5 kad kuning (termasuk dua kad kuning ketika menentang Selangor II).
8. Ahmad Tasnim Fitri (Pertahanan)
Tasnim Fitri hadir ke Negeri Sembilan setelah pasukan yang menaikkan namanya, FELDA United tidak lagi beraksi dalam kancah Liga Malaysia. Hadir dengan reputasi sebagai pemain yang menjuarai Piala AFF U-19 2018 bersama skuad Malaysia U-19, Tasnim hanya mengumpul 200 minit permainan setelah dua kali diturunkan sebagai pemain utama dan dua kali sebagai pemain gantian.
9. Zamri Pin Ramli (Pertahanan)
Nama Zamri Pin Ramli mungkin agak asing bagi kebanyakan peminat Negeri Sembilan sebelum ini, namun pemain ini beraksi di bawah kendalian K. Devan di PJ City sebelum berpindah ke Pulau Pinang musim lepas. Zamri telah bermain dalam setiap perlawanan dengan enam kali sebagai pemain utama dan empat kali sebagai pemain gantian dengan secara keseluruhannya, Zamri telah beraksi selama 596 minit. Telah mengutip dua kad kuning ketika bertemu Perak II dan Kuching City, Zamri perlu berhati-hati kerana kad kuning yang seterusnya akan mengakibatkan penggantungan satu perlawanan.
10. Raja Imran Shah Raja Amin (Pertahanan)
Raja Imran yang menjuarai Piala Presiden 2019 bersama PKNS, memilih untuk berhijrah ke Negeri Sembilan musim ini berbanding untuk terus kekal bersama Selangor II. Walaupun baru bermain untuk 150 minit, Raja Imran tampak banyak diberi peluang oleh K. Devan apabila telah diturunkan tujuh kali sebagai pemain gantian.
Bersambung ke bahagian 3.
Kredit gambar: FB NSFC