December 11, 2024

Tarik diri atau tarik tali?

3 min read

Mungkinkah wujud satu konspirasi yang dirancang kemas untuk menggugut pihak tertentu? Hal ini bermain-main didalam kotak fikiran Jang selepas Selangor pula berniat untuk menarik diri dari liga. Mula-mula Kelantan dan NuorMuso membebel dan merengek dimedia massa, merajuk kerana tiada pitih untuk terus beraksi di liga Super tetapi Jang anggap Kelantan dan NuorMuso ini tiap tahun merepek, jadi Jang abaikan. Perlis juga turut berura-ura mahu menarik diri selepas Kelantan tetapi sayang, takda siapa ambil port pun pasukan utara ini. Dunia bola sepak buat tak tahu saja dengan Perlis, main pun entah diliga mana, alih-alih ugut nak tarik diri.

Kenapa ketiga-tiga pasukan ini (mungkinkah ada pasukan lain lagi akan turut serta selepas ini?) secara tiba-tiba dan hampir serentak mengumumkan penarikan diri? masalah kewangan? Bukankah hampir kesemua pasukan yang bertanding di MSL juga mengalami masalah yang hampir serupa? Kelantan, Selangor dan Perlis ingat pasukan lain bayar gaji dengan apa? daun getah? Pasukan lain dapat tajaan berjuta-juta ke? Takkanlah Jang nak bagitau cara berbelanja mengikut kemampuan atau berceramah; sikap berbelanja mengikut nafsu ini perangai setan. Cincin saja besar, harap akal pun besar juga la. Ini bila tak dapat peruntukan, dia bukan rasa tercabar dan akan cari duit sendiri tetapi menangis dan merajuk. Bagaimana mahu menarik penajaan berjuta ringgit dengan sikap sebegini? Takda kelas!

Atau mungkin sebenarnya ada orang yang mereka mahu ‘libas’? Bak kata pepatah; marahkan nyamuk, kelambu dibakar atau pukul anak-sindir menantu? Siapa jadi menantu ni, FMLLP ke? Ye lah, badan yang menjaga liga ini FMLLP dan mereka sebenarnya mahu menuntut hak penyiaran yang kononnya bernilai jutaan ringgit. Mengikut pemahaman mereka, mereka layak mendapat bahagian mereka dan dengan bahagian itu mereka akan sedikit lega untuk meneruskan kelangsungan pasukan. OhTuhanku! berapa kali pasukan kau bermain secara siaran langsung sepanjang musim lepas? Kalau setakat live di TV9 untuk tatapan warga Malaysia saja, janganlah bermimpi tinggi sangat.

Bayern Munich adalah pasukan paling berjaya di Bundesliga tetapi nilai hak siaran langsung mereka sangat ciput jika dibandingkan dengan pasukan lemah di EPL seperti Liverpool. Keseluruhan nilai hak siaran langsung Bundesliga juga ketinggalan terlalu jauh berbanding EPL. Tetapi pendapatan utama mereka adalah jualan tiket hari perlawanan, penjualan merchandise dan ketiga, melalui pengkomersilan. Ini 3 perkara utama yang begitu asing di telinga pengendali pasukan bola Malaysia. Heboh dengan duit hak siaran langsung! Heboh nak menagih duit dari kerajaan negeri yang dikutip melalui cukai dan pendapatan lain.

Adakah semua ini juga ada hubungan dengan satu pakatan mentadbir FAM secara proksi? Jang sebenarnya tidak la berapa faham sangat idea mentadbir FAM secara proksi ini, apa kelebihannya, apa tujuan atau apa yang mahu dicapai. Walaupun Jang percaya – tiada idea yang teruk dan idea yang gila selalunya mampu merubah dunia (atau dalam kes ini, FAM) tetapi Jang hanya faham satu perkara;- FAM tertakluk dibawah seliaan FIFA dan FIFA hanya mengiktiraf FAM sahaja.

Mengambil contoh penggantungan Brunei DarulSalam oleh FIFA dahulu, ianya hanya berpunca dari kegagalan BAFA (Brunei FA) menghantar laporan kewangan (nampak? segala masalah di dunia ini berpunca dari wang) kemudian kerabat Sultan Brunei yang menguasai kerajaan marah dan tak suka dengan BAFA lalu beliau membuat persatuan bola sepak sendiri menggantikan BAFA. Apabila FIFA mendapat tahu akan hal ini, FIFA menghantar surat meminta kuasa bola sepak Brunei dikembalikan kepada BAFA kerana FIFA hanya mengiktiraf BAFA sahaja tetapi kerabat Sultan Brunei membalas semula; “jangan masuk campur hal kedaulatan negara Brunei”

Dipendekkan cerita, FIFA gantung Brunei lalu kerabat tadi pun insaf.

Jadi Jang harap rancangan nak proksi FAM ini tidaklah sampai kita kene gantung dengan FIFA (atau kene gantung pun bagus juga) Nak jadikan siapa pun sebagai presiden FAM, sila gunakan saluran yang betul. Berkempenlah, melobilah – bukankah kita sangat mahir dalam dua perkara ini?

Untuk Selangor, Kelantan dan Perlis – respek sikit la dengan liga kita yang tak seberapa ini. Kalau sebagai pasukan yang bertanding, tak kisah la ada 33 kejuaraan Piala Malaysia pun tapi kalau tiada rasa hormat pada liga, tak guna 33 kejuaraan itu. Hormati juga lawan dari pasukan lain yang bersusah payah membina pasukan dari bawah, mengambil pemain tempatan, pemain piala presiden dengan gaji murah dan sebagainya. Pasukan lain sibuk kearah penswastaan dan ‘sustainability’ tapi pasukan gergasi kene tarik telinga dan menangis minta derma. Jika mereka berkeras mahu tarik diri, banyak lagi pasukan lain dalam Malaysia ini boleh ganti.

Dah macam rojak artikel Jang sebab dah lama tak menulis dan Jang tapau semua isu dalam satu artikel. Hmmm.. fikir semula, bola sepak kita pun dah macam rojak juga. Macam-macam ada dalam satu pinggan! Kau saja yang dah pandai makan Fish n Chips, spaghetti dan sosej lalu tak selera tengok rojak lagi.

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.