October 13, 2024

Tiada unsur rasuah dalam pen drive persatuan tidur.

3 min read

Jang tidak berniat nak masuk campur hal dalaman FAS yang terus bergolak dan mendapat perhatian media. Tetapi hal dalaman yang meribut dan mendapat perhatian adalah jauh lebih baik dan mulia dari persatuan yang senyap bak dilanggar Garuda. Exco- exco yang tidak sependapat di FAS adalah tanda demokrasi dan kesungguhan mencari kebenaran (dan parasit sebenar) dalam mengembalikan semula Selangor ke landasan sebenar. Ini petanda positif bola sepak yang juga berlaku di seluruh dunia. Tidak sependapat dan sentiasa memastikan yang terbaik untuk pasukan.

Mana-mana ahli, samada di peringkat bawah atau Exco yang didapati cuba membuat keputusan sendiri atau ada unsur kepentingan mesti disingkirkan. Mana-mana Ahli Yang Berhormat atau melantik saudara sendiri untuk dihormati mesti mempunyai sifat tidak senang dengan ahli lain yang cuba melakukan onar dengan bola sepak. Dengan kata lain, jangan biarkan ada ahli yang begitu mudah dan sewenangnya membuat keputusan tanpa mengira kepentingan bola sepak. Jika ahli semua pakat tak kisah, maka rasuah boleh berlaku tanpa halangan.

Jang kata begini kerana Jang lihat banyak persatuan bola sepak negeri yang bergolak. Ada yang bergolak kerana kesilapan sendiri, ada yang bergolak kerana desakan peminat dan sebagainya. Bergolak tidak bermakna akan menuju kehancuran tetapi mungkin sebagai pemula kepada satu organisasi bersih dan baik untuk bola sepak. Bergolak juga bermaksud mereka buat kerja dan mengambil perhatian. Bergolak juga disebabkan oleh kerana mereka prihatin dan mendengar keluhan peminat. Bergolak adalah bagus dan petanda ada manusia yang berfikir dengan baik dalam satu-satu persatuan bola tersebut – tidak kira siapa.

Bagaimana dengan persatuan yang langsung tidak berbunyi? Berdecit tidak, mengeluh tidak, ketawa tidak, marah tidak… semua tidur bagaikan menunggu sangkakala ditiupkan maka kiamatlah dunia lalu mereka meniti titian siratulmustakim untuk masuk syurga. Adakah kerana persatuan tersebut begitu sempurna? Adakah kerana ahli dan Exco semua bekerjasama rapat membangunkan bola sepak? Adakah mereka terlalu bersih, tiada unsur rasuah, pendrive, SPRM friendly, sistematik dan serba sempurna? ATAU, semua pakat senyap kerana tak berani bersuara? Kalau bersuara nanti dibuang pulak jawatan ni, takda elaun, dibenci Presiden, gelap masa depan dan sebagainya?

Persatuan yang bebas kontroversi sebenarnya ada yang lebih celaka dan merbahaya. Mereka sepakat buat bodoh, buat-buat tidur dan takut nak bersuara dalam mesyuarat. Semuanya nak jaga kepentingan dan periuk nasi sendiri. Bola sepak nak merudum masuk neraka pun dia tak peduli. Janji ada jawatan dan elaun. Jang dah jumpa banyak di Seremban ini. Tak payah la Jang nak beri bukti disini, cukup Jang sediakan satu pendrive yang penuh dengan unsur dakwah dan rasuah dan serah kepada KJ sebelum diserah kepada SPRM dan kemudian kepada Astro Awani. hmmm..

Penyokong yang vokal sangat penting dalam mengejutkan exco-exco yang sedang lena diulit kesenangan. Mereka perlu disergah, didakwah, dilapor pada SPRM dan sebagainya dan jika mereka bersih, mereka tak perlu takut. Hanya perlu bangun tidur dan keluar, berundur, bagi orang muda yang tahan berjaga untuk buat kerja. Nak tidur, pergi balik rumah la!. Jika ada ahli, AJK atau EXCO yang tidak telus, kita mesti terus menggegar mereka sehingga mereka tidak senang duduk lalu insaf dan berundur.

Kerana jika semua pakat diam dan senyap, mereka sedap!

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.