Tidak menang bukan bermakna merancang ke Europa League
2 min readMika Rot mengulas kesengajaan United untuk tidak menang perlawanan menentang PSV Eindhoven semalam.
Kemenangan magis di saat-saat akhir pada minggu lepas menentang Watford pada saingan Liga Inggeris dijadikan sandaran bahawa Dewa Kematian telah bersama semula dengan mereka untuk menghulurkan bantuan di saat-saat akhir bagi mencabut nyawa musuh mereka tetapi entah tangkal atau azimat apa yang diguna pakai oleh Philip Cocu pada awal pagi tadi pada waktu Malaysia membuatkan Setan Merah dan Dewa Kematian ‘mati kutu’ menentang pasukan yang cuma memenangi piala ini sebanyak satu kali tapi itu ada baiknya daripada sebuah pasukan nun jauh di kota London, hampir setiap musim mangga berbuah ranum dengan penuh bergaya melayakkan diri ke saingan Piala Teragung Kelab-Kelab Eropah tetapi sekadar melengkapkan jadual promosi.
Keputusan yang berakhir dengan keputusan seri diantara skuad Setan Merah menentang PSV Eindhoven seakan-akan membakar hidup-hidup para peminat mereka di serata dunia dan yang paling terasa bahang panas api neraka jahanam adalah true supporter mereka yang setiap pagi melantak nasi lemak 4 bungkus, roti canai 6 keping, dilengkapi dengan secawan teh tarik mamak, mereka yang selalu masuk lambat ke pejabat, mereka yang setiap tahun tekun dan ikhlas menanti pembayaran anugerah wang 1Malaysia dan yang paling ‘rare’ mereka yang sangat suka bermain bola sepak secara ‘Hantaran bola panjang ke syurga’. Engkau tekalah kalau engkau hebat!
Seri menentang skuad pimpinan Philip Cocu bermakna skuad Setan Merah harus menang di bumi Jerman, menentang ‘Lord’ Bendtner dan konco-konconya dan mengharapkan pasukan pimpinan Philip Cocu tewas dibedil oleh jet pejuang buatan CSKA Moscow. Skuad Setan Merah boleh saja merancang dengan awal yang ‘road trip’ ke Jerman nanti di isi dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Melihat katalog-katalog kereta berjenama Volksvagen misalnya tetapi terma ‘mengharap’ sebenarnya tiada dalam kitab pegangan skuad Setan Merah.
Pasukan semegah dan se-prolifik seperti skuad Setan Merah jika gagal melayakkan diri ke peringkat tertinggi dalam saingan Piala Teragung Kelab-Kelab Eropah kali ini, pastinya akan terhumban dan terperosoklah jauh ke dasar neraka jahanam dan tiket ke neraka yang paling dahsyat seakan-akan telah ditempah semula. Cukuplah era ‘The Chosen One’ dulu.
Tetapi ingatlah, Setan tetap akan ada dan ada dimana-mana untuk menggoda mereka-mereka yang lemah. Sekadar mengingatkan.