April 26, 2024

AMD | Dilema pembangunan ‘unik’

3 min read

Tenang semua!

Pembangunan bukan sekadar secara spesifik kepada anak-anak yang bermain di akademi yang membiak diseluruh tanah Malaysia atau di AMD. Mencipta pembaharuan, mengikut undang-undang baru (atau lama) yang diperkenalkan, berdiskusi dan memberi pandangan tentang idea serta bertekak di media sosial juga adalah satu bentuk pembangunan. Jika dahulu, kita statik, mati akal, ikut telunjuk, akur dan lena dalam kepompong tradisi, kini kita semua telah bercakap hal akademi dan pembangunan secara serius dan berlumba merebut ubi yang masih muda. Pembangunan ada didalam padang dan diluar kotak fikiran kita.

Indahnya pembangunan!

Permainan bola sepak itu sendiri telah mengalami banyak jenis ‘pembangunan’ dan pembaharuan semenjak Pele memukau dunia pada umur 18 tahun dan Maradona membuat larian solo pada tahun 1986. Perlu diingat! semasa pengenalan atau pembaharuan kepada undang-undang ‘back-pass’ pada tahun 1992, ianya tidak mendapat persetujuan semua ahli gabungan bola sepak Inggeris/dunia, tetapi undang-undang itulah yang merevolusikan bola sepak menjadi satu permainan yang begitu sedap sekarang ini. Tidak semua pernah melalui zaman meilhat pasukan bola bermain ‘time wasting’ dengan melakukan back-pass ke penjaga gol yang dibuat secara berulang-ulang sampai kau rasa nak buat pitch invasion dan riot, tapi Jang boleh katakan, selepas pengenalan undang-undang back-pass dilakukan, perbezaan sangat ketara diantara bola sepak era 80 dan selepas 1992. Kau tak lalui perubahan ini, siapa suruh kau lahir lambat?

Undang-undang dicipta untuk redakan kekalutan dan undang-undang juga ada mencipta kekalutan.

Pengenalan undang-undang development fees yang dikeluarkan oleh pengarah MSN dikatakan mengikut undang-undang FIFA cuma mungkin mekanisme itu sedikit berbeza kerana kita setiap tahun masih bersorak dan menyatakan kelegaan kepada bajet tahunan kerajaan yang diberikan kepada KBS. Lepas bajet dibentangkan, ramai suka dan lega, banyak peruntukan diberikan kepada NFDP. Tetapi undeng-undeng FIFA tidak mengenal bajet kerajaan atau MSN. Mereka buat secara menyeluruh dan am. Jadi, hari ini kita kembali mengeluh apabila development fees yang cuba diperkenalkan ‘tersangkut’ kerana NFDP/AMD hidup dalam bajet. Camno? Bola sepak kita unik, tapi unik tidak bermaksud baik dan betul.

Entahlah, begitu kompleks sebenarnya kerana gaji dan kontrak pemain skuad senior pun kita ikut saluran ‘ikut sedap’. Terlalu sedikit atau hampir tiada pemain senior yang berpindah dari satu pasukan ke pasukan lain dengan mengenakan bayaran perpindahan. Kebanyakan pemain hanya diikat setahun kontrak, tahun depan, mereka bebas untuk dipilih atau memilih pasukan. Jika ada pun kontrak yang lebih dari setahun, mereka tidak menarik minat pasukan lain untuk membayar yuran perlepasan untuk mendapatkan khidmat mereka. Jika ada pun, ianya kelihatan ‘ugly’ dengan ada pasukan mengugut untuk saman di peringkat antarabangsa dan ada pasukan yang didenda. (Ini secara general dan pukul rata, mengikut kebiasaan kebanyakan pemain dan pasukan)

Mungkin selepas ekosistem bola sepak diperingkat senior mengikut undang-undang dan pasukan banyak duit seperti JDT dan Selangor, baru semua ini nampak betul dan teratur. Jika tidak, ianya nampak kelakar apabila ada pasukan gagal bayar gaji pemain senior dan dalam masa yang sama bercakap pasal pembangunan dan development fees. Mungkin NFDP sendiri boleh mulakan dengan memberi development fees kepada akademi kecil luar sana, setiap kali mereka mengambil pemain memasuki tunas dan kemudian ke AMD kerana mereka yang membentuk pemain dari umur mereka 7 tahun. Mekanisme mungkin.

Hal ini agak rumit dan susah nak habis, dan pandangan Jang mungkin salah atau menyimpang dari tajuk. Menambah derita, lagu Bangau Oh Bangau sentiasa berkumandang dalam fikiran Jang jika kajian terperinci difikirkan. Tapi Jang suka nak nyataan disini dan hanya ini sahaja point Jang, iaitu, Jang suka, gembira dan tersenyum membaca pandangan semua orang di twitter. Inilah corak pembangunan dalam perbincangan yang sangat menarik dan diharapkan untuk dekad akan datang.

Ingat! bola kita akan sedap jika kita tak amalkan back-pass. Maksud Jang, jika ada orang nak beri penambahbaikan, jangan la kau pulangkan balik kepada mereka hanya sekadar untuk membuang masa.

Jang,
Sekadar hingaq.

 

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.