April 27, 2024

Video Assistant Referee (VAR): Sejauh Mana Keberkesanannya

4 min read

Di dalam bola sepak, kesilapan yang dibuat oleh pengadil adalah normal. Mereka juga adalah manusia biasa dan tidak kebal daripada melakukan kesilapan. Ya, mereka sering mencuba yang terbaik pada setiap perlawanan namun hakikatnya tidak terkira berapa banyak perlawanan yang keputusannya berakhir dengan salah. Adakah anda masih ingat perlawanan liga juara-juara ketika Chelsea menentang Barcelona pada tahun 2009? Walaupun Chelsea tiada penyokong pada amnya namun dengan sifat abang Tom yang cintakan keadilan abang Tom merasakan ianya sangat kontroversi dan harus dipandang serius.

Dengan bola sepak moden yang laju dan ditambahkan pula dengan pemain yang gemar berlakon di atas padang, pengadil boleh hilang pertimbangan. Banyak ujian dan method yang dilakukan oleh pihak FIFA untuk membantu pengadil untuk hal ini. Sebagai contoh, pengadil tambahan di gawang gol dan gelang vibrator yang akan bergegar bila bola melepasi garisan penjaga gol. Walau bagaimanapun ianya masih perlukan penambaikan dan evolusi dalam perlaksanaan.

Antara hasil dalam evolusi ini adalah Video Assistant Referee dengan nama singkatan VAR. Di sukan lain, VAR bukanlah satu benda yang baru. Contohnya badminton. Kita lihat berapa kali pemain akan mencabar keputusan pengadil dengan melihat komputer adakah bola tangkis benar-benar keluar ataupun sebenarnya masuk. Konsepnya hampir sama dengan VAR yang diguna pakai untuk bola sepak sekarang.

 

Pengenalan Tentang VAR

England antara negara yang menyahut seruan menggunakan VAR ini. Antara perlawanan yang terawal diuji menggunakan VAR ialah perlawanan FA Cup, Leicester City menentang Fleetwood Town. Ia adalah perlawanan klasik tapi diselingkan dengan teknologi moden. Keberkesanan VAR benar-benar diuji pada hari tersebut.

Waktu itu Fleetwood Town ketinggalan 1-0 di belakang Leicester City dan Fleetwood Town memerlukan gol penyamaan. Pada waktu genting tersebut, Leicester City mendapat peluang hasil daripada pergerakan bijak Riyad Mahrez. Beliau menghantar bola ke Kelechi Iheanacho yang dengan tenang menendang bola melepasi penjaga gol Fleetwood Town.  Gol kedua untuk Leicester City lantas meleburkan harapan Fleetwood Town untuk menyamakan kedudukan.

Namun kegembiraan mereka hanya sementara. Penjaga garisan telah mengangkat bendera ke depan sebagai tanda offside. Gol kedua untuk Leicester City tidak sah kerana offside. Kemudian, pengadil utama seolah-olah melukis kotak di awangan seperti kanak-kanak sedang berangan sendirian. Sebenarnya, beliau ingin meminta bantuan VAR untuk mengenal pasti adakah gol tersebut benar-benar offside. Selepas beberapa minit bercakap dengan radio, pengadil perlawanan Jonathan Moss memberikan gol kepada Leicester City dengan menarik balik keputusan offside yang diberikan sebelum ini hasil daripada nasihat pengadil VAR.

Sejarah tercipta gol pertama di England atas bantuan VAR sekaligus membuka mata pada penganalisa bola sepak tentang VAR ini. Ianya tepat, mengejutkan dan sangat berevolusi.

 

Perbincangan

Semenjak diperkenalkan, VAR ini menjadi buah mulut setiap penulis, pundit dan penganalisa bola sepak dunia. Mungkin ianya tidak heboh di Malaysia tetapi di Eropah hampir setiap minggu mereka membincangkannya. Kami di Ultrajang yang sentiasa berada di hadapan juga tidak terlepas daripada diskusi tentang VAR ini.

Yang bagusnya tentang VAR ini, keputusannya sangat tepat. Bayangkan video boleh dianalisa dengan gerakan persaat. Sebagai contoh, gol Juan Mata ketika menentang Huddersfield Town tempoh hari tidak di call oleh penjaga garisan. Tetapi selepas dipertikaikan dan permintaan menggunakan VAR oleh pemain Huddersfield Town, didapati keputusan penjaga garisan tidak tepat kerana Juan Mata berada di dalam kedudukan offside (Mana-mana anggota badan kecuali tangan yang berada lebih daripada lastman dikira offside. Dalam kes Juan Mata adalah lututnya). Jadi gol tidak dikira. Bayangkan jika pemain berlakon jatuh di kotak D. Ini juga boleh dianalisa dengan tepat oleh pengadil dengan bantuan VAR. Abang Tom tak terkejut satu hari nanti ramai pemain yang dibuang padang kerana berlakon jatuh di kotak D. Tiada siapa suka pemain berlakon meminta penalti betul tak?

Tapi jika begini, bukankah ianya akan membunuh kemanisan dan keaslian bola sepak? Ia memang perkara yang harus dirisaukan. Bola sepak seolah-olah mempunyai masa berhenti tidak seperti kebiasaanya dan ketepatan keputusan itu seperti menghakis kesenian bola sepak itu sendiri. Siapa melukis pakai pembaris betul tak? Perlawanan bola sepak akan mempunyai timeout yang akan memotong klimaks siapa-siapa yang menontonnya. Ini bukan perlawanan eggball (American  Football) bak kata-kata beberapa lagenda bola sepak yang menentang penggunaan VAR. Ini adalah impak negatif daripada sistem VAR jika ianya diaplikasikan sepenuhnya.

 

Kesimpulan

Setuju atau tidak VAR ini masih lagi dalam tempoh percubaan. Oleh itu, ianya terlalu awal untuk diguna ataupun ditentang secara total. Tapi tidaklah pula ianya tidak boleh dikritik ataupun dibincangkan keberkesanannya oleh peminat-peminat bola sepak. Bukankah penyokong bola sepak yang bijak tidak ekstrimis dan berlapang dada. Malah terdapat beberapa kesilapan seperti gambar yang disiarkan di BT Sport dan digunakan pengadil-pengadil berbeza menunjukkan ianya masih dalam peringkat awal. Banyak yang perlu diperbaiki.

Personally, abang Tom pada mulanya menentang penggunaan VAR ini. Ini kerana bola sepak adalah satu bentuk kesenian dan sesuatu yang abstrak. Mana mungkin fungsi logik diguna pakai untuk bola sepak. Tetapi on second thought, abang Tom berpendapat bola sepak juga tidak boleh lari daripada peredaran zaman. Dengan corak permainan yang semakin laju dan pemain yang bijak berlakon, pengadil juga perlukan bantuan daripada pihak yang lain. Di samping meningkatkan mutu pengadilan, kita juga dapat mengurangkan tekanan pada pengadil. Bukankah ramai pengadil yang berhenti disebabkan tekanan membuat keputusan yang salah? Mereka juga perlu dihargai. Jadi fikir-fikirkan lah.

 

P/S: Malaysia kalau pakai VAR canggih tak? Ke sama je mutu pengadilannya?

 

Tom Bombadil- Di bilik persalinan pengadil perlawanan

 

 

Source Picture:

unsplash-logojose azmitia

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.